Friday 23 November 2012

CULTURE SHOCK +/-?

Untuk tajuk di atas baca, Culture Shock, positif atau negatif?


Melalui penilaian dan pengamatan sepanjang setahun 3 bulan berada di bumi shamrock ini, aku lihat ramai antara pelajar luar negara mengalami 'culture shock' atau istilah lainnya kejutan budaya. terkejut dengan budaya yang berbeza dan juga suasana yang lain dari Malaysia disamping jauh dari pandangan mata mak dan ayah. persoalannya, culture shock ini sesuatu yang baik atau sebaliknya?

Semuanya bergantung kepada jenis 'shock' yang dialami. aku lihat ada antara pelajar yang dulunya baik, bertudung dan menutup aurat, namun kini ku lihat tiada lagi kain atau tudung yang menutupi helaian rambut itu. aku juga melihat ada antara mereka yang mula berclubbing, berparti dan sebagainya.. dulu rambut mereka hitam dan kini bertukar kepada warna-warna yang keperangan. perubahan iklim dan suhu barangkali. mungkin juga budaya di sini  menggalakkan lagi perubahan sebegini berlaku.

Namun, aku juga melihat ada antara mereka yang dulunya agak lain berbanding yang lain. hisap rokok, free hair, bebas dari segi pergaulannya, namun kini mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. dari berseluar pendek kepada yang lebih panjang. dari tidak bertudung kepada bertudung. dari tudung tiga segi kepada tudung yang lebih labuh dan menutupi dada.

Bagi keadaan yang kedua ini mungkin kerana mereka menyedari akan sikitnya komuniti muslim di sini dan berusaha untuk memperbaiki diri demi memastikan nilai islam tetap ada dalam diri. mereka mula meminati dan memberikan kommitmen kepada sistem usrah yang ada.

Tidak dinafikan ada juga yang hanya statik pergerakannya, tiada perubahan sama ada ke arah yang positif atau negatif. hanya ingin menjadi diri yang dulu dan merasakan cukup dengan apa yang sudah sedia ada.

hati ini begitu berbunga dan gembira melihat perubahan demi perubahan ke arah kebaikan.. sebaliknya jika melihat ada antara mereka yang berubah ke arah yang kurang baik. hanya mampu berdoa moga Allah membuka pintu hidayah untuk kembali ke jalan yang benar.

Persoalan seterusnya mungkin perlu difikirkan perubahan budaya atau 'culture shock' yang mana yang kita mahu?? hanya ingin mengajak kita semua untuk mencari titik perubahan ke arah kebaikan. sesuai denga firman Allah dalam surah al-Ra'du,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Apa yang pasti kita yang perlu berusaha untuk berubah. andai ditunggu 'seru' baru hendak berubah maka takutlah akan kematian kerana tiada yang yang mengetahui kapan tibanya ia melainkan atas pengetahuan Allah.

Memetik pepatah arab yang mengatakan,
' Untunglah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalamm'

Moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung..


Sunday 18 November 2012

DEMO GAZA

Perang Israel Gaza tercetus lagi. namun rakyat palestin masih kukuh mempertahankan bumi Aqsa yg banyak menyimpan sejarah Islam.. di bumi inilah letaknya masjidil Aqsa yg merupakan qilblat pertama umat islam, masjid ketiga suci dalam islam, bumi kelahiran rasul2 sebelumnya.

Israel mendakwa mereka hanya mempertahankan diri dari serangan terrorist GAZA. alasan rapuh semata. tidaklah dikatakan perang apabila sebelah pihak melepaskan ribuan peluru berpandu yg beratnya ratusan pound menentang dengan bedilan roket dan balingan batu-bata.. jenyah perang ini tidak lain hanyalah utk mengusai sepenuhnya bumi palestin.




Israel menyekat segala kegiatan penduduk Palestin. tidak dibenarkan membawa masuk kelengkapan membuat rumah/bngunan apatah lagi senjata perang, sedang mereka dengan mudahnya mendapat bantuan kelengkapan perang yg canggih dari Amerika Syarikat. mereka hanya dibenarkan menangkap ikan dengan jarak 3kilometer dari pesisir pantai yang kotor. urusan eksport/import dihalang sepenuhnya. bantuan perubatan disekat. sekolah, masjid dan hospital dimusnahkan..

sememangnya mereka pengecut, menyerang manusia yg hanya bersenjatakan ketulan batu yg beratnya hanya 200 gram.

* * *

pertama kali menyertai demonstrasi aman di bumi asing yg begitu bersungguh2 menentang jenayah perang Israel.. sungguhpun mereka bukan Islam tetapi sikap ambil berat dan humanity mereka sangat tinggi jika hendak dibandingkan dengan sesetengah penduduk islam yg lain.. malu kekadang melihat solidariti mereka menangani isu palestin.

salah seorang speaker yg bercakap:
seorang yg aktif dalam memperjuangkan isu palestin.




gambar kenangan dalam menyokong usaha2 menyedarkan
masyarakat tentang isu palestin


salah seorang speaker- merupakan producer filem terkenal di
 Ireland yang baru sahajapulang dari Gaza. dalam ucapannya,
 beliau menangis kerana tidak dapat menahan sebak ketika 
menceritakan bagaimana beliau melihat seorang kanak-
kanak meninggal dunia akibat terbakar.


Thursday 8 November 2012

di sinilah tempatku bermula..


'tahniah, anda ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke KOLEJ MARA BANTING dalam diploma INTERNATIONAL BACCALAUREATE..'

 ni lah surat tawaran yg aku dapat dari MARA.
kat mana pulak KMB ni, mcm mana sistem IB ni. orang cakap IB ni kena buat kerja amal sebanyak 180 jam. dan bermacam2 lagi persoalan yg bermain di kotak kepala sebelum menjejak kaki ke KMB, the IB School.

di sinilah aku mula kenal dengan apa itu tarbiyah. kagum dengan seorang abang yg bekerja sebagai engineer tetapi bersemangat menyedarkan kami dengan sejarah2 Islam yg naik dan turun dalam Ini Sejarah Kita (Abang Khair, kini menyambung Phd di Oxford University :)

pic 1:map KMB - credit to Adilah nur fatin (E09A)

Kagum sebenarnya dengan life student KMB yg of course jadualnya begitu sibuk. setiap minggu wajib akan hantar 2 lab report yg banyaknya lebih kurang 15 muka surat untuk setiap report. setiap minggu kena pergi sekolah kebangsaan Bukit Tadom, training bola setiap selasa dan khamis petang. jadi volunteer SPR untuk pemilihan MPP baru. pergi KPM Indera Mahkota untuk program belia sihat. join kelab gncc and buka bazar time bulan ramadan jual ABC. kena buat kem Amal Islami dengan bergabung ngan kelas lain (belajar sembelih ayam and urus jenazah). pastu, Weekend ja abang JPAM datang ziarah, marah2 plak tu. nak pulak bila dah masuk second year, kena buat EE ( 4000 perkataan plak tu), serabut dengan TOK lagi. time tu la segala bagai IA (internal Assessment) datang. kalau IA math HL, wajib tak tido la semalaman..

 tapi itu semua dulu, kenangan yg penuh bermakna.. terasa masa begitu bermakna.. dalam kesibukan sebegitu sekalipun, aku (dan yg lain2) masih punya waktu untuk join usrah dengan naqib luar di hujung minggu. bawa usrah untuk adik2 first year setiap malam Rabu. di sinilah aku mula kenal dengan istilah2 daurah, mabit, iftar, riadah, jaulah, mukhayyam. kekadang tido kat rumah ikhwah yg xpernah kenal pon. :) . 

sebelum maghrib akan ada bacaan al-Quran yg dipasang di surau. (time ni baru terhegeh-hegeh nk balik riadah :D) . mendengar bacaan dari syeikh mishary rashid akan mengingatkan aku akan suasana petang di kmb.. 




dalam satu ceramah malam jumaat, ustaz Hasnan (penuh kontroversi dengan statement pasal maher zain :D) pernah menekankan kepentingan bacaan al-Quran, dan menceritakan bagaimana mutabaah sahabat2 dulu yg paling leceh akan baca satu juzuk sehari.. dari situ, kami (dalam group 7 orang) bertekad untuk menggalakkan bacaan alquran oleh semua pelajar kmb. paling tidak, dengar pun sudah mencukupi andai tidak punya masa untuk membaca dan mentadabburnya.. 

paling best, tiap2 malam hujung minggu akan tido di surau. surau menjadi bilik no 2 bagi sesetengah dari pelajar kmb. (ni lah satu2nya tempat yg dapat coverage wifi dan bole online sampai pkul 2 pagi tanpa gangguan pak guard :). mathurat menjadi rutin harian habis shaja solat Asar dan akan ada perkongsian 10 minit lepas maghrib sebelum pi dinner ikan keli sambal, pergh..

makan dalam satu talam adalah pengalaman aku yg pertama disini.. agak kurang selesa pada mulanya, namun setelah terbiasa menjadi ketagihan pula bila makan beramai2. bole tengok berbagai ragam manusia, ada yg makan laju, makan slow dan yang tak tahan pakat berebut lauk yg ada.. :). yg paling best time rehat pkul 10.30am, ramai2 pakat pi surau untuk solat dhuha.

hidup dalam suasana sebegini, terasa hati cukup basah dengan pengisian2 rohani.. masing2 ingin mengejar kebaikan dalam sibuknya IB!!. 

bila dah masuk alam universiti ni, terasa banyak pula masa kosong yg dibiarkan berlalu begitu sahaja. kelas kekadang 4 jam je sehari, perlu organised masa dengan lebih baik lagi.
 

sabda Rasulullah SWA : "ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu kerananya iaitu kesihatan dan masa lapang." (Al-Bukhari)

tujuan entry ini ditulis adalah untuk membandingkan kehidupan di KMB yg begitu sibuk namun masih punya waktu utk mencari makanan rohani berbanding kehidupan pelajar universiti yg agak kurang sibuknya justeru makanan rohani perlu lebih banyak dari sebelumnya.. 

moga2, mutabaah aku, kita dan kalian semua semantop dulu :)

FASTABIQUL KHAIRAT!!!!




foto2 memori di KMB

pic 2: kem JPAM
pic 3: gerai gncc

pic4: post CAS- tulis reflection :)

Kem Amal Islami

jaulah GNCC ke Pantai Morib.

 


Tuesday 13 March 2012

warkah terakhir

Fikiranku buntu. Aku sungguh kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh medical officer (MO) tadi.

"Saya tengok kamu ni ok je. tak nampak macam teruk sangat pon. saya faham benar bila student macam kamu datang dengan alasan sakit kepala, tak lain tak bukan mesti nak MC."

Pedih hatiku mendengar sindiran MO tadi. dalam hati aku hanya mampu istighfar dalam menahan sakit kepala yang tidak terperi.

...

Besok merupakan peluang dan harapan terakhir aku bertarung dengan sesuatu yang pasti iaitu mati. aku telah disahkan oleh pakar menghidap 'brain tumour' dan kini telah berada pada tahap kritikal yang memerlukan pembedahan. dan besok aku akan menjalani pembedahan bagi membuang tumour tersebut walaupun aku tahu peluang untuk kembali seperti biasa sangat nipis. namun aku gagahi juga kerana sudah tidak mampu lagi menanggung kesakitan dan itulah jalan terakhir.

Usai aku menunaikan solat isyak, aku bangun pula untuk menunaikan solat sunat taubat, moga-moga Allah mengampuni segala dosa-dosaku. aku dapat rasakan suatu kelainan pada malam ini. suara cengkerik sudah tidak sebingit dulu. begitu tenang. terasa bagai seluruh alam cuba untuk menenangkan hati yang penuh dengan gelisah untuk menghadapi hari esok.

Dalam keadaan yang amat payah dan sukar aku cuba mencapai sehelai kertas sebagai warkah terakhir buat abah dan ummi. pada saat ini aku merasakan andai aku 'menang' pada pertarungan besok, sungguh Allah ingin memberi peluang kedua untuk aku menebus segala dosa-dosa lalu. dan andai aku 'tewas', aku tahu Allah begitu menyayangiku untuk terus tidak berlaku dosa pada-Nya.

Selesai aku menulis, aku memanggil Karim yang berada di ruang tamu. Ku tatap wajah Karim yang begitu sayu dalam merah mata menahan jernihan air dari terus mengalir. Karimlah sahabatyang sentiasa bersamaku menempuh hari-hari penuh suka dan duka. Sejak kebelakangan ini, dia sanggup tidak pergi ke kelas demi menjagaku. Sungguh mulia hatimu akh. di kala ini, abah dan ummi sedang melaksanakan tuntutan rukun islam kelima di tanah suci Mekah. Hanya kepada rakan serumah tempat aku mengadu sakit. Moga Allah membalas jasa baik kalian.

"Karim, mohon jasa baik hang tolong serahkan surat ni kat abah dan ummi aku kalau aku 'kalah' pada pertempuran besok. maafkan aku kalau ada salah silap  dan halalkan makan minum aku sepanjang kita tinggal bersama."

"hang jangan cakap macam  tu Zaid. Banyakkan bersabar dan berdoa" masing-masing sudah tidak mampu menahan titis-titis air jernih dari terus mengalir.

Kini, aku ditolak masuk ke operation theatre. kalimah syahadah tidak lekang dibibir. doktor-doktor terus cuba untuk menenangkan aku. pandanganku kian kabur kesan suntikan bius. aku merasakan saatnya telah tiba.. semalamat tinggal dunia yang fana dan kini aku akan berhadapan dengan rabbul a'lamin.




Assalamualaikum abah dan ummi,

warkah ini zaid tulis setelah merasakan zaid sudah tidak punya masa untuk kita bertemu seperti hari-hari dulu.

ummi,
maafkan zaid andai zaid pergi dulu. janganlah ummi tangisi atas apa yang berlaku kerna itu semua sudah tertulis pada kalamnya.
maafkan zaid ummi, kerna tak mampu untuk jadi anak yang soleh yang dapat mendoakan kebahagiaan abah dan ummi seperti yang ummi selalu harapkan.
kini zaid pula begitu mengharapkan doa abah dan ummi setidak-tidaknya meringankan azab kubur zaid nanti. selalulah ummi sedekahkan zikir buat zaid nanti agar zaid dapat pungut mutiara-mutiara tersebut seperti mana yang ummi pernah ceritakan pada zaid dulu.

abah,
zaid juga ingin pohon seribu kemaafan dari abah.
zaid tak mampu untuk menjadi seorang anak yang abah impikan yang boleh membahagiakan abah dan ummi bila sudah tua nanti.
maafkan juga atas janji-janji zaid yang begitu banyak dan zaid rasa zaid sudah tidak punya waktu untuk menepati janji-janji itu semua.
zaid pernah berjanji untuk menukar atap rumah kita yang bocor dan seringkali dimasuki air jika hujan turun, tapi zaid masih belum bekerja.
zaid pernah berjanji untuk menggantikan lantai papan yang rapuh kerna serangan anai-anai.
zaid juga pernah berjanji untuk membelikan abah sebuah kereta agar abah tidak lagi basah jika pulang dari kebun.

begitu banyak janji-janji zaid yang zaid tak sempat tunaikan. zaid pernah berjanji untuk menjadi anak yang akan mendoakan dan membacakan bacaan ayat suci al-quran buat abah dan ummi dan kini zaid begitu mengharapkan doa-doa ikhlas dari abah dan ummi.

halalkan makan minum zaid.
Bersabarlah andai abah dan ummi hanya menerima jasad zaid yang sudah tidak bernyawa lagi.


anakmu yang mengharapkan pengampunan,

zaid

Monday 6 February 2012

cerpen- solat abah



"oh., nak jadi cikgu pulak. baru masuk sekolah dah pandai mengajar orang." dengan tidak semena-mena abah naik angin. dipukulnya aku dengan rotan yang sudah siap tersedia di dinding rumah.

"Ampunkan Farid Abah. Farid janji Farid tak buat lagi." aku cuba merayu. Namun rayuanku sama sekali tidak diendahkan abah.
Jika baran abah datang lagaknya seperti orang hilang ingatan. tiada siapa yang berani datang menghulurkan bantuan. Betis dan punggungku terus menjadi mangsa serangan rotan yang bertalu-talu.
Ibu yang baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib datang berlari selaju yang boleh bagi melihat apa sebenarnya yang terjadi dengan berpakaian telekung putih. aku terus memeluk erat ibu. tangisanku reda dalam dakapan ibu.

"woi Farid, jauh termenung. ingat orang tersayang dah ke?" tersentak dengan sapaan Kamal, aku kini kembali ke alam yang sebenar. Alam yang banyak mengajar erti 'kehambaan'. Memori aku dipukul abah gara-gara mengajak abah solat berjemaah menjadi kenangan paling pahit dalam hidupku. Tidak ku sangka ajakan seorang anak yang baru berumur lapan tahun akan bertukar menjadi tragedi yang tak dapat dilupakan. Aku hanya menuruti  nasihat ustazah Mardiyah supaya bersolat jemaah dengan ahli keluarga di rumah. Jauh di lubuk hati, aku sedih. Sedih kerana ajakanku dianggap abah sebagai cuba 'mengajarnya' pula tentang agama.

"rileks la. sebulan je lagi nak cuti summer. balik Malaysia nanti kau jumpa la kekasih hati yang kau mimpi-mimpikan tu." Kamal terus mengusik

"ada-ada je la kau ni kamal." seboleh mungkin aku cuba menyembunyikan masalah peribadi yang melibatkan perihal keluarga dari diketahui oleh orang luar.

"Aku teringatkan kat parents aku la. dah tiga tahun aku tak balik. skype je tak puas ar.." aku cuba meyakinkan Kamal.

sepanjang hidup aku sebagai pelajar luar negeri banyak pengalaman-pengalaman berharga yang aku peroleh. Aku pernah memegang jawatan exco tarbiyah sebuah persatuan islam di United Kingdom. aku juga aktif dalam kerja-kerja sukarela membantu golongan 'homeless' di bumi kelahiran Charles Darwin ini.

Jauh dalam hati kecilku tertanam segunung harapan mendoakan agar abah berubah. Seingat aku, sepanjang aku membesar tidak pernah sekali pun aku solat berimamkan abah. Abah bukanlah seorang yang jahil agama. Mungkin masa lampaunya menjadikan abah seorang yang tidak begitu mengambil berat soal-soal agama.

Abah masih seorang manusia biasa yang punya sifat kebapaan. Menginginkan anak-anaknya berjaya dunia dan akhirat. Aku dihantar bersekolah di sebuah sekolah agama yang agak terkemuka di Selangor. Masyarakat begitu memuji dan menyanjungi keperibadianku. dan kekadang aku ditolak ke hadapan untuk mengimamkan solat berjemaah di masjid. Sedih dan sayu bila abah hanya duduk di rumah dan tiada minat untuk ke masjid.

Namun, aku tetap berdoa agar suatu hari nanti abah akan berubah. jauh di sudut hati aku mengidam dan kepingin untuk menunaikan solat berjemaah yang diimamkan oleh abah walaupun sekali. Semasa usia kecilku dulu, ibulah yang menjadi imam kepada solatku.

Bermulanya cuti summer kali ni, aku begitu dahagakan kasih abah dan ibu yang sekian lama tidak bersua muka. Bersembang hanya di depan skrin lap top masih tidak memuaskanku. Azamku untuk solat berjemaah bersama keluarga begitu tinggi.

Jam di dinding menunjukkan pukul 7.15 petang. Sebagai langkah mula, aku cuba berbual-bual dengan abah menceritakan keadaan United Kingdom yang jauh lebih moden dari Malaysia.

"Abah, dah pukul tujuh lebih dah. Jom kita solat maghrib sekali alang-alang dah ada ramai ni." aku memberanikan diri.

"Hmm. pergi la ambil wuduk dulu." abah masih cuba mengelak. Aku menuruti sahaja. Usai berwuduk aku terus menghampar sejadah di ruang solat. Dari jauh aku memerhati sahaja tindak-tanduk abah. Tiba-tiba abah bangun bergerak menuju ke bilik air. Hatiku terus berbunga kerana impianku selama ini hampir menjadi kenyataan.

Setelah ibu, along, dan adik bersiap, aku terus iqamah dengan harapan abah akan mara ke hadapan untuk mengimamkan solat kami. Memandangkan hanya aku seorang sahaja putera dalam rumah ni, abah terpaksa juga menjadi imam.

Dalam hati aku terus memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi yang berjaya menggerakkan hati abah untuk solat bersama. Hampir 23 tahun aku menanti akhirnya saat ini terjadi jua. Aku tahu jauh di sudut hati abah terselit perasaan malu terhadap aku kerana aku seringkali disuruh menjadi imam solat fardu di masjid. Abaikan itu semua abah, yang penting ibadah kita dengan Allah.

Mendengar bacaan solat abah, air mataku mengalir secara tiba-tiba. biarpun bacaan surah al-Ikhlas yang abah bacakan, tapi kerinduan terhadap suara abah sangat mengusik hatiku. Aku sebak. inilah saat yang aku dambakan selama ini. Jika dulu rotan yang menjadi balasan terhadap ajakanku namun kini ku tahu hatimu sudah tidak sekeras dulu. Kedut-kedut di mukamu memberitahu sifatmu sudah banyak berubah.

Usai abah memberi salam, aku terus bersalam dan memeluk abah.

"Farid sayang abah kerana Allah" hanya itu perkataan yang terkeluar dari mulutku. Air mataku mengalir laju. Masing-masing sudah tidak dapat menahan air mata lagi. Solat maghrib kali ini berakhir dengan pelukan dan tangisan kegembiraan. Semoga abah terus istiqamah..


azu-one

Saturday 4 February 2012

hadiah 'air mata'

pejam celik-pejam celik, aku sudah menjejakkan kaki di bumi ireland. Alhamdulillah, salah satu cita-cita sudah tercapai. yang tinggal hanya usahaku untuk menghabiskan pengajian dalam bidang kedoktoran ini sahaja.

terkenang saat aku mendapat result SPM dulu, ujian-ujian 'kecil' menjengah sebentar sekadar menguji kesungguhanku dalam menuntut ilmu.
jika orang bertanya kepadaku, 'apakah pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang 21 tahun hidup di dunia ni?'

sudah pasti pengalaman aku mendapat result SPM masih segar dalam ingatan. dalam keadaan Malaysia diuji dengan masalah ekonomi, aku juga turut teruji. berbekalkan RM20 untuk perjalanan menaiki bas ke Pokok Sena, cukup sekadar tambang bas pergi dan balik sahaja. makan?? puasa jela separuh hari.
namun, tersalah perhitungan, aku terbeli sebuku roti dan sebotol air mineral. alamatnya, aku perlu mencari kaedah lain untuk tambang bas balik nanti.

sampai sahaja di sekolah, rakan-rakan sudah bersama dengan slip keputusan masing-masing. pelbagai perasaan bercampur-baur menuju meja penyerahan slip result. ketika itu, Allahyarham Cikgu Khairuddin (bekas guru kelas 5P) menjaga kaunter. dengan tenang dia mencari slip keputusanku dan dalam masa yang sama hanya Allah yang tahu apa perasaanku ketika itu. setelah aku melihat result SPMku, secara spontan aku berkata kepada cikgu Khairuddin.
"cikgu, saya nak peluk cikgu boleh?"
"peluklah.."

mungkin itulah pelukan terakhir aku dengan Allahyarham, apabila dia menghembuskan nafas terakhir setahun kemudian disebabkan oleh barah mulut.
mak di rumah menelefon, bertanyakan khabar 'gembira' atau 'derita'. aku memberikan jawapan,
"cukup-cukup makan ja mak.."

dalam perjalanan balik, aku terpaksa call mak untuk suruh abah menjemput di Batu Lima. untuk balik ke rumah aku terpaksa tukar bas lain dengan jarak lebih kurang 10km.
"abah tengah tido. wan balik nek bas bole?"
"mak, bukan wan takmau balik nek bas. tapi, duit dah abis..."
mendengar jawapanku, esak tangis mak kedengaran di hujung talian.

sampai sahaja aku di rumah, aku menyerahkan slip SPM ku kepada mak. dengan linangan air mata mak menyambut kejayaanku dalam SPM.
orang lain mungkin dijanjikan hadiah yang lumayan jika mendapat result cemerlang. bagiku, cukuplah 'air mata' kegembiranmu menjadi hadiah penyambut keputusanku..


sekadar perkongsian untuk memotivasikan diri. kesusahan bukan penghalang sesebuah kejayaan. yang lebih utama adalah kesungguhan menuntut ilmu. akan lebih manis, jika tuntutan ilmu itu diniatkan kerana Allah.

"Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman yang mempunyai ilmu diantara kamu dengan beberapa derajat"(QS.Al-Mujadallah : 11)

dalam ayat yang lain,

 "Katakanlah :"samakah orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu" (QS, Az-Zumar : 9), jelas menyuruh manusia itu untuk berfikir apakah kira-kira manusia yang berilmu dengan manusia yang tidak berilmu itu sama.


oleh itu, perlu kita ingatkan dalam diri masing-masing untuk sentiasa menanam minat menuntut ilmu walaupun pelbagai ujian dan tekanan datang 'mengusik'. 


azu-one

Thursday 19 January 2012

pengorbananmu..


ibu..



kau sanggup berlapar dahaga demi anak-anakmu,
andai lauk itu adalah kegemaran anak-anakmu
kau sanggup ketepikan hakmu dengan berlaukkan ulam-ulaman.

pernah aku merajuk kerna kau tak bisa menggoreng nasi untuk ku
tapi dengan sabar kau melayan karenah anakmu ini,
pernah juga ku merajuk kerna tiada lauk kegemaranku
seperti biasa kau cuba seupaya mungkin untuk memujukku
dengan menebalkan muka mu meminta lauk dari mak cik zainab rumah sebelah

jika kempat-empat anakmu membuat ragam yang berbeza,
tidak pula bebelan panjang yang kau berikan
sebaliknya senyuman yang terukir dibibirmu.

pernah dulu aku meminta kau belikan mainan untukku.
namun jawapanmu mudah dan memotivasikan ku
"nanti kita kaya kita beli na.."
padamu mungkin kau menipu untuk memujukku
tapi dalam hatiku kau bukan menipu
kerna aku percaya kita bukan selamanya akan susah


begitu tabah dan sabar kau melayan karenah anak-anakmu. ku harap kesabaran ini dapat kuwarisi demi mendidik anakku akan datang. Ada sesuatu yang membuat aku risau dan gelisah iaitu  mampukah aku melayanmu nanti seperti mana kau melayanku dahulu dan sekarang. doakanlah anakmu ini agar sentiasa berada pada jalan yang benar, agar Allah teguhkan hati ini semoga dijauhkan dari melupakan diriku yang sebenar..

Tuesday 17 January 2012

kebetulan atau ketentuan...?

untuk entry kali ni, ingin aku ceritakan satu kisah yang terjadi semasa kami berjaulah di Turki baru-baru ini. kisahnya mengenai sebuah camera.

sekadar gambar hiasan.


dalam perjalanan dari Istanbul ke Bursa (untuk bermain ski) kami terserempak dengan seorang brother Tunisia yang juga dalam perjalanan ke sana. melihat akan kebolehannya menguasai simple vocab dalam bahasa Turki sudah cukup melegakan kami. satu cabaran bagi setiap pelancong yang ingin travel di Turki adalah masalah komunikasi apabila keadaannya sangat sukar untuk bertemu dengan mereka yang boleh bercakap dalam bahasa English. dalam perjalanan menuju ke puncak Uludag (tempat bermain ski), Rejab (nama brother Tunisia) sempat mengambil telefon number driver van yang kami naiki bersama tu. setelah tiba di puncak Uludag kami berjanji akan turun semula dalam pukul 5 petang. namun disebabkan brother Rejab agak tergesa-gesa untuk mengejar feri ke Istanbul dia bergerak terlebih dahulu sambil memberikan contact no driver van yang kami naiki tadi kepada seorang rakan.

kisah camera tersebut bermula apabila kami dalam perjalanan pulang dari Uludag menuju ke Bursa. secara kebetulan, sekali lagi kami terserempak dengan pak cik driver tadi semasa mencari van untuk bergerak ke Bursa. dalam perjalanan pulang, hampir semua daripada kami tertidur kerana kepenatan. sampai satu ketika aku terdengar seolah-olah ada barang terjatuh ke lantai van. dalam hati aku berkata mungkin phone salah seorang dari kami. setelah sampai di Bursa, dalam keadaan agak tergesa-gesa kami memeriksa barangan kami takut-takut tercicir dalam van sambil bergegas untuk mendapatkan bas ke Istanbul.

Dalam perjalanan, salah seorang sahabat menyedari cameranya hilang dan berkemungkinan besar tertinggal di dalam van yang kami naiki tadi. untuk mengesahkan sama ada camera tersebut betul-betul tercicir di atas van tadi, kami cuba untuk menelefon     contact number pak cik driver tadi. namun, masalah timbul apabila pak cik tersebut tidak boleh bertutur dalam bahasa English dan sebaliknya kami yang sama sekali tidak tahu-menahu bahasa Turki. setelah tiba di hostel, kami terus mendapatkan pertolongan dari brother Ehsan (pengurus hostel kami yang boleh bercakap dalam bahasa English). dengan tenang dia menjawab, camera tersebut masih berada dalam tangan pak cik tadi dan besok boleh ambil di Bursa. berita tersebut sudah cukup untuk melegakan hati kami lebih-lebih lagi pemilik camera tersebut.

setelah diteliti kisah perjalanan kami di sana, aku terfikir, bagaimana jika Allah tidak pertemukan kami dengan brother Tunisia (Rejab) tersebut, tergerakkah hati kami untuk mengambil contact no driver van itu.

yang kedua, secara kebetulan, semasa kami mencari-cari van untuk bergerak ke Bursa sekali lagi kami bertemu dengan pakcik driver yang kami naik tadi. andai van lain yang kami naik, contact number di tangan sudah tidak berguna lagi.



bagaimana pula jika pak cik driver tadi seorang yang tidak jujur, boleh saja dia perdayakan kami yang sama sekali tidak tahu selok-belok kehidupan orang Turki. apatah lagi pelancong asing yang pertama kali menjejakkan kami di bumi Uthmaniyah.


sukar untuk menjawab soalan andaian sebegini. namun kita harus ingat Allah lah yang mengatur segala perjalanan kejadian di langit dan di bumi.

"Dan pada sisi Allahlah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)." (al-An'aam: 59)


dalam keadaan tersebut, perlunya kebergantungan kita kepada Allah Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Usaha dan tawakal untuk mencapai sesuatu perlu dilaksanakan dengan yakin dan bersungguh-sungguh. Insya Allah, kesudahan yang baik akan kita peroleh jika setiap perbuatan yang kita lakukan bersandarkan kepada Allah

akhirnya, syukur Alhamdulillah camera tersebut berjaya ditemui semula pada keesokan harinya.. :)
.
bermain ski di Uludag

Sunday 15 January 2012

kita kini..

Pada era ini., kita lebih gemar berbicara mengenai isu fiqh berbanding isu aqidah. tatkala ummat islam diuji dengan pelbagai fahaman dan ideologi barat yg boleh menggugat jati diri ummat islam, kita disibukkan dengan pelbagai perbalahan politik yang sama sekali tidak menitikberatkan masalah yang dihadapi umat kini.. Murtad, zina, arak dan judi kian menjadi-jadi. 

Kita lebih suka mendengar orang berbicara isu fiqh yang berkaitan hukum hakam sedangkan itu pada hemat saya ia merupakan cabang dalam islam berbanding isu aqidah yang merupakan tunjang keislaman seseorang. oleh itu, tidak hairanlah jika pelbagai fahaman negatif senang sekali menular dalam pemikiran umat islam. 

Unsur2 jahiliah semakin ketara dilakukan oleh umat islam lebih2 lagi orang melayu islam. kita kini begitu mangli dengan isu pembuangan bayi. 

Menurut satu sumber 'selain daripada dibunuh atau dibuang, berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.' 1

mudahnya generasi kini terikut-ikut dengan pemahaman tertentu


Menyingkap 1400 tahun yang lalu, betapa nabi menekankan kepentingan ilmu aqidah sebelum ditekankan ilmu fiqh melihat akan jahiliah yang dilakukan oleh masyarakat pada waktu itu. sehinggakan seorang hamba sanggup pertahankan kalimah tauhidnya walaupun diuji dengan begitu dasyat sekali dek begitu memahami akan apa itu aqidah. seorang sahabat sanggup merentasi benua demi menyebar dan mempertahankan aqidah setelah mereka betul2 faham apa itu aqidah. bagaimana dengan Maha Bijaksananya Allah menurunkan ayat2 Makiyyah yang berkisar tentang ilmu aqidah untuk memperbaiki akhlak masyrakat Arab ketika itu.

Pada hemat saya, perlu kita tekankan kembali kepentingan ilmu aqidah dan mentauhidkan Allah yang satu. di sini bukan saya bermaksud ilmu fiqh itu tidak penting, tapi melihat perkembangan semasa di mana ramai antara kita yang lebih gemar berbicara ilmu cabang dari ilmu tunjang. 


sumber:

Saturday 14 January 2012

andai mereka pergi..

Andai mereka pergi dahulu sebelum ku.,

bersediakah aku untuk menjadi wali dalam memikul tanggungjawab menyempurnakan pengebumian mereka..

sudah sempurnakah bacaan Al-Quranku yang akan disedeqahkan sebagai bekalan buat mereka ketika bertemu Rabnya. atau aku hanya mampu berdiam diri dan gelisah mencari qari dan qariah untuk membacakan al-Quran buat mereka. seterusnya menghancurkan harapan mereka yang ingin sekali mendengar bacaan ayat suci Al-Quran yang keluar dari mulutku.

mampukah aku memandikan jasad suci mereka menurut kaifiat yang ditentukan syarak. atau aku hanya mampu mengintai dari luar dan menyerahkan kepada tok imam dan AJK masjid yang melaksanakannya. bagaimana jika terdapat aib mereka, siapa yang akan menutupinya jika bukan aku. jika dulu mereka memandikan aku dengan penuh kelembutan dan kasih sayang, apa imbalan yang mereka peroleh daripada ku pada saat itu.

jika diserahkan kain kafan kepadaku, bolehkah aku memakaikannya pada jasad mulia mereka. atau mungkin pada saat itu aku terkedu dek istilah 'kafan' yang digunakan membuktikan kejahilan aku akan ilmu fardh.

yakinkah aku untuk bangun berdiri mengimamkan solat jenazah mereka tatkala tiada siapa tampil kehadapan. pada saat itu, lancarkah lidahku untuk melafazkan kalimat doa agar roh mereka tenang ketika menghadap tuhan sekalian alam.

jika mereka adalah orang tersayang, sejauh mana kita mampu buktikan kesayangan kita terhadap mereka. adakah dengan pelbagai kemewahan dunia yang kita berikan sudah cukup untuk kita katakan kita sayang mereka. bagaimana dengan kehidupan mereka dan kita yang kekal abadi nanti?? sudah cukup bersediakah kita untuk menghadapi hari itu??