Monday 6 February 2012

cerpen- solat abah



"oh., nak jadi cikgu pulak. baru masuk sekolah dah pandai mengajar orang." dengan tidak semena-mena abah naik angin. dipukulnya aku dengan rotan yang sudah siap tersedia di dinding rumah.

"Ampunkan Farid Abah. Farid janji Farid tak buat lagi." aku cuba merayu. Namun rayuanku sama sekali tidak diendahkan abah.
Jika baran abah datang lagaknya seperti orang hilang ingatan. tiada siapa yang berani datang menghulurkan bantuan. Betis dan punggungku terus menjadi mangsa serangan rotan yang bertalu-talu.
Ibu yang baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib datang berlari selaju yang boleh bagi melihat apa sebenarnya yang terjadi dengan berpakaian telekung putih. aku terus memeluk erat ibu. tangisanku reda dalam dakapan ibu.

"woi Farid, jauh termenung. ingat orang tersayang dah ke?" tersentak dengan sapaan Kamal, aku kini kembali ke alam yang sebenar. Alam yang banyak mengajar erti 'kehambaan'. Memori aku dipukul abah gara-gara mengajak abah solat berjemaah menjadi kenangan paling pahit dalam hidupku. Tidak ku sangka ajakan seorang anak yang baru berumur lapan tahun akan bertukar menjadi tragedi yang tak dapat dilupakan. Aku hanya menuruti  nasihat ustazah Mardiyah supaya bersolat jemaah dengan ahli keluarga di rumah. Jauh di lubuk hati, aku sedih. Sedih kerana ajakanku dianggap abah sebagai cuba 'mengajarnya' pula tentang agama.

"rileks la. sebulan je lagi nak cuti summer. balik Malaysia nanti kau jumpa la kekasih hati yang kau mimpi-mimpikan tu." Kamal terus mengusik

"ada-ada je la kau ni kamal." seboleh mungkin aku cuba menyembunyikan masalah peribadi yang melibatkan perihal keluarga dari diketahui oleh orang luar.

"Aku teringatkan kat parents aku la. dah tiga tahun aku tak balik. skype je tak puas ar.." aku cuba meyakinkan Kamal.

sepanjang hidup aku sebagai pelajar luar negeri banyak pengalaman-pengalaman berharga yang aku peroleh. Aku pernah memegang jawatan exco tarbiyah sebuah persatuan islam di United Kingdom. aku juga aktif dalam kerja-kerja sukarela membantu golongan 'homeless' di bumi kelahiran Charles Darwin ini.

Jauh dalam hati kecilku tertanam segunung harapan mendoakan agar abah berubah. Seingat aku, sepanjang aku membesar tidak pernah sekali pun aku solat berimamkan abah. Abah bukanlah seorang yang jahil agama. Mungkin masa lampaunya menjadikan abah seorang yang tidak begitu mengambil berat soal-soal agama.

Abah masih seorang manusia biasa yang punya sifat kebapaan. Menginginkan anak-anaknya berjaya dunia dan akhirat. Aku dihantar bersekolah di sebuah sekolah agama yang agak terkemuka di Selangor. Masyarakat begitu memuji dan menyanjungi keperibadianku. dan kekadang aku ditolak ke hadapan untuk mengimamkan solat berjemaah di masjid. Sedih dan sayu bila abah hanya duduk di rumah dan tiada minat untuk ke masjid.

Namun, aku tetap berdoa agar suatu hari nanti abah akan berubah. jauh di sudut hati aku mengidam dan kepingin untuk menunaikan solat berjemaah yang diimamkan oleh abah walaupun sekali. Semasa usia kecilku dulu, ibulah yang menjadi imam kepada solatku.

Bermulanya cuti summer kali ni, aku begitu dahagakan kasih abah dan ibu yang sekian lama tidak bersua muka. Bersembang hanya di depan skrin lap top masih tidak memuaskanku. Azamku untuk solat berjemaah bersama keluarga begitu tinggi.

Jam di dinding menunjukkan pukul 7.15 petang. Sebagai langkah mula, aku cuba berbual-bual dengan abah menceritakan keadaan United Kingdom yang jauh lebih moden dari Malaysia.

"Abah, dah pukul tujuh lebih dah. Jom kita solat maghrib sekali alang-alang dah ada ramai ni." aku memberanikan diri.

"Hmm. pergi la ambil wuduk dulu." abah masih cuba mengelak. Aku menuruti sahaja. Usai berwuduk aku terus menghampar sejadah di ruang solat. Dari jauh aku memerhati sahaja tindak-tanduk abah. Tiba-tiba abah bangun bergerak menuju ke bilik air. Hatiku terus berbunga kerana impianku selama ini hampir menjadi kenyataan.

Setelah ibu, along, dan adik bersiap, aku terus iqamah dengan harapan abah akan mara ke hadapan untuk mengimamkan solat kami. Memandangkan hanya aku seorang sahaja putera dalam rumah ni, abah terpaksa juga menjadi imam.

Dalam hati aku terus memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi yang berjaya menggerakkan hati abah untuk solat bersama. Hampir 23 tahun aku menanti akhirnya saat ini terjadi jua. Aku tahu jauh di sudut hati abah terselit perasaan malu terhadap aku kerana aku seringkali disuruh menjadi imam solat fardu di masjid. Abaikan itu semua abah, yang penting ibadah kita dengan Allah.

Mendengar bacaan solat abah, air mataku mengalir secara tiba-tiba. biarpun bacaan surah al-Ikhlas yang abah bacakan, tapi kerinduan terhadap suara abah sangat mengusik hatiku. Aku sebak. inilah saat yang aku dambakan selama ini. Jika dulu rotan yang menjadi balasan terhadap ajakanku namun kini ku tahu hatimu sudah tidak sekeras dulu. Kedut-kedut di mukamu memberitahu sifatmu sudah banyak berubah.

Usai abah memberi salam, aku terus bersalam dan memeluk abah.

"Farid sayang abah kerana Allah" hanya itu perkataan yang terkeluar dari mulutku. Air mataku mengalir laju. Masing-masing sudah tidak dapat menahan air mata lagi. Solat maghrib kali ini berakhir dengan pelukan dan tangisan kegembiraan. Semoga abah terus istiqamah..


azu-one

Saturday 4 February 2012

hadiah 'air mata'

pejam celik-pejam celik, aku sudah menjejakkan kaki di bumi ireland. Alhamdulillah, salah satu cita-cita sudah tercapai. yang tinggal hanya usahaku untuk menghabiskan pengajian dalam bidang kedoktoran ini sahaja.

terkenang saat aku mendapat result SPM dulu, ujian-ujian 'kecil' menjengah sebentar sekadar menguji kesungguhanku dalam menuntut ilmu.
jika orang bertanya kepadaku, 'apakah pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang 21 tahun hidup di dunia ni?'

sudah pasti pengalaman aku mendapat result SPM masih segar dalam ingatan. dalam keadaan Malaysia diuji dengan masalah ekonomi, aku juga turut teruji. berbekalkan RM20 untuk perjalanan menaiki bas ke Pokok Sena, cukup sekadar tambang bas pergi dan balik sahaja. makan?? puasa jela separuh hari.
namun, tersalah perhitungan, aku terbeli sebuku roti dan sebotol air mineral. alamatnya, aku perlu mencari kaedah lain untuk tambang bas balik nanti.

sampai sahaja di sekolah, rakan-rakan sudah bersama dengan slip keputusan masing-masing. pelbagai perasaan bercampur-baur menuju meja penyerahan slip result. ketika itu, Allahyarham Cikgu Khairuddin (bekas guru kelas 5P) menjaga kaunter. dengan tenang dia mencari slip keputusanku dan dalam masa yang sama hanya Allah yang tahu apa perasaanku ketika itu. setelah aku melihat result SPMku, secara spontan aku berkata kepada cikgu Khairuddin.
"cikgu, saya nak peluk cikgu boleh?"
"peluklah.."

mungkin itulah pelukan terakhir aku dengan Allahyarham, apabila dia menghembuskan nafas terakhir setahun kemudian disebabkan oleh barah mulut.
mak di rumah menelefon, bertanyakan khabar 'gembira' atau 'derita'. aku memberikan jawapan,
"cukup-cukup makan ja mak.."

dalam perjalanan balik, aku terpaksa call mak untuk suruh abah menjemput di Batu Lima. untuk balik ke rumah aku terpaksa tukar bas lain dengan jarak lebih kurang 10km.
"abah tengah tido. wan balik nek bas bole?"
"mak, bukan wan takmau balik nek bas. tapi, duit dah abis..."
mendengar jawapanku, esak tangis mak kedengaran di hujung talian.

sampai sahaja aku di rumah, aku menyerahkan slip SPM ku kepada mak. dengan linangan air mata mak menyambut kejayaanku dalam SPM.
orang lain mungkin dijanjikan hadiah yang lumayan jika mendapat result cemerlang. bagiku, cukuplah 'air mata' kegembiranmu menjadi hadiah penyambut keputusanku..


sekadar perkongsian untuk memotivasikan diri. kesusahan bukan penghalang sesebuah kejayaan. yang lebih utama adalah kesungguhan menuntut ilmu. akan lebih manis, jika tuntutan ilmu itu diniatkan kerana Allah.

"Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman yang mempunyai ilmu diantara kamu dengan beberapa derajat"(QS.Al-Mujadallah : 11)

dalam ayat yang lain,

 "Katakanlah :"samakah orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu" (QS, Az-Zumar : 9), jelas menyuruh manusia itu untuk berfikir apakah kira-kira manusia yang berilmu dengan manusia yang tidak berilmu itu sama.


oleh itu, perlu kita ingatkan dalam diri masing-masing untuk sentiasa menanam minat menuntut ilmu walaupun pelbagai ujian dan tekanan datang 'mengusik'. 


azu-one